Wednesday, December 3, 2008

Kehilangan Granada dari tangan Islam

MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.
Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.
Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.
Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.
Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”
Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.
Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.
Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.
INTI PATI:
Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.
FAKTA:
Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.
Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.

Saturday, November 10, 2007

Tanda-tanda menjelang kematian


Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar .


Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.


Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akanlenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tandaini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


TANDA 40 HARI


Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untukmencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.


TANDA 7 HARI


Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


TANDA 3 HARI


Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


TANDA 1 HARI


Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.


TANDA AKHIR


Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak

Wednesday, November 7, 2007

7 rombongan iblis ketika sakaratul maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan: Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”
  • Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
  • Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
  • Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.
  • Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya
  • Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”
Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.
  • Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali.
Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.
Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
  • Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut.
Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”

Saturday, October 27, 2007

Syawal.....Tafakur Diri dan Alam.

Alangkah selesanya berada di bulan syawal,apabila menahan nafsu makan sudah tidak menjadi satu kewajiban bagi sekelian muslimin.Ada yang merasakan keseronokan meninggalkan ramadhan dan ada yang bersedih. Masing-masing menurut tahap keimanan.Apa yang lebih jelas ramadhan-ramadhan yang lalu,jangan dilupakan.Rasa bersyukur seharusnya dipanjatkan kerana kita dapat berjumpa lagi di ramadhan ini dan diramadhan yang akan datang.Begitulah sunnatullahnya.


Walaupun begitu, 2 Syawal yang lepas,4 orang jiran di Taiping telah kembali ke rahmatullah,salah seorangnya adalah seorang yang dikenali kerana kemesraannya.Pasrah sebagai makhluk dan hamba,tidak dapat mempercepatkan dan memperlambatkan akan sesuatu peristiwa dan kejadian melainkan dengan keizinannya.Ketika hujan lebat yang mencurah-curah beliau disemadikan dengan tenang dan sejahtera.



Sedih dan insaf bila mengenang diri,adakah telah bersedia aku akan hal yang demikian.Tidak adalah satu ilmu dan amal yang dapat menyelamatkan melainkan dengan rahmat dan kurnia-nya.........Itu adalah cerita diri.




Bagaimana keadaan kuburan ku pula,adakah bumi ini sudi menerima diri ini yang penuh dosa dan sering tenggelam dalam lautan alpa dan lupa. Lupa pada hari-hari yang mendatang dimana hari itu adalah satu hari dimana aku tidak akan kembali kerumah besar,ke keluarga besar dan kepada angan-angan besar.Hakikat kembali kepada Rabbul Izzati.Inilah cerita alam.



Berhujjah-hujjah lah diantara Aku dan Alam

Friday, October 26, 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri


SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI WAL FA'IZAIL

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Thursday, May 3, 2007

Renung-renungkan...........

DARI MANA MAU KEMANA...

Adakah kematian semakin menjauhi dari diri kita...
Adakah kita telah bersedia untuk menghadapinya...
Adakah cukup bekalan kita...
Benarkah amal dan kebaktian kita tulus kepada nya..

Kenapa masih memandang diri yang berkuasa
Kenapa masih memandang diri yang berusaha
Kenapa masih memandang diri yang menentukan syurga dan neraka

Kembali lah kepada hakikat takdir,
sesungguhnya ilmu dan amal,
usaha dan ikhtiar tidak dapat mengubah benteng takdir Allah

Tuesday, April 3, 2007

Ilmu Pembersih Hati




"Sepotong do'a yang pernah diajarkan Rasulullah SAW dan disunnahkan untuk dipanjatkan kesyukuran kepada Allah Azza wa Jalla sebelum seseorang yang hendak menuntut ilmu. do'a tersebut berbunyi : Dengan do'a ini seorang hamba berharap dikurniai oleh-Nya ilmu yang bermanfaat.



Apakah hakikat ilmu yang bermanfaat itu? Secara syariatnya, suatu ilmu disebut bermanfaat apabila mengandung mashlahat - memiliki nilai-nilai kebaikan bagi sesama manusia ataupun alam sejagat. Akan tetapi, ilmu tersebut menjadi tidak berguna sama sekali apabila tidak merasakan kedekatan kepada Zat Maha Pemberi Ilmu yakni Allah Azza wa Jalla. Dengan ilmu maka seseorang itu mungkin di angkat darjat kemuliaannya di mata manusia, tetapi belum tentu di angkat darjat kemuliaan itu disisi Allah Azza wa Jalla.



Dalam erti kata gambaran ilmu yang memberi manfaat itu sebagaimana yang pernah disebutkan oleh ahli sufi. " Ilmu yang berguna itu, ialah seperti sinar cahaya yang luas di dalam dada dan membuka penutup hati." Tokoh sufi iaitu Imam Malik bin Anas r.a. juga telah mengungkap kata-kata yang sedemikian iaitu " Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyak meriwayatkan sesuatu (hadith), melainkan ia adalah nur (cahaya) yang di masukkan Allah ke dalam hati-hati manusia. Adapun bergunanya ilmu itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada-Nya (Allah) dan menjauhkannya dari kesombongan diri."



Hakikat ilmu itu adalah kalaam Allah Azza wa Jalla. Sesungguhnya tidak akan ada satu makhluk pun di alam semesta ini yang dapat mengukur Kemahaluasan ilmu-Nya. Sesuai dengan firman-Nya :



”Katakanlah (wahai Muhammad) Kalau sekiranya seluruh lautan itu dijadikan tinta untuk (menuliskan) kalimat-kalimat Tuhanku, sudah tentu akan habis kering kontang lautan itu sebelum habis tertulisnya kalimat-kalimat Tuhanku,walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”
Al Kahfi :109



Adapun ilmu yang dititipkan kepada manusia adalah tidak lebih dari setitik air di tengah samudera yang luas. Demikian juga, barangsiapa yang dikurniakan ilmu oleh Allah, maka dengan ilmu tersebut semakin bertambah dekat dan kian takutlah ia berbuat maksiat kepada-Nya.

Firman Allah SWT :



“ Dialah (Allah) mengangkat akan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu)."
Al Mujaadalah :11



Sesungguhnya janji Allah SWT itu tidak akan pernah meleset sedikit pun!
Walaupun hanya dengan setitis ilmu yang dititipkan ke dada-dada manusia, namun terlalu banyak sehingga tak pernah habis ilmu itu walau ianya dikaji sepanjang hayat. Bagi hamba-hamba yang arifin, ilmu tersebut menjadikan diri mereka semakin takut untuk berbuat maksiat kepada Allah. Inilah ilmu yang paling barkah yang sangat dituntut bagi kita mencarinya. Menuntut ilmu yang jelas (benar) niat mahu pun caranya (dari sebarang maksud yang lain selain dari keredhaan Allah semata-mata), nescaya kita akan mendapatkan manfaat yang besar tak terhingga darinya.



Bagaimana pula caranya agar kita memperolehi ilmu yang bersinar cahaya dan meliputi di dalam dada serta dapat pula membuka penutup hati? Imam Syafie yang nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris ketika masih menuntut ilmu, pernah ia mengeluh kepada gurunya lalu berkata "Wahai guru, mengapa ilmu yang sedang ku kaji ini susah sekali untuk memahaminya, bahkan cepat pula ia lupa?" Lalu guru itu pun menjawab, "Ilmu itu ibarat cahaya. Ia hanya dapat menerangi gelas yang bening (jernih) dan bersih." Maksud kata-kata guru itu ialah, ilmu tidak akan menerangi hati yang keruh dan banyak pula maksiatnya.



Oleh itu janganlah kita hairan sekiranya berlaku pada orang-orang yang rajin mendatangi majlis-majlis ilmu, usrah dan kuliah tetapi akhlak dan perilakunya tetap buruk. Mengapa pula demikian? Itulah yang dimaksudkan hati yang tidak dapat diterangi oleh ilmu, laksana air kopi yang hitam pekat di dalam gelas yang kotor. Walaupun diterangi dengan cahaya sekuat mana pun, sinar cahayanya tetap tidak dapat menembusi serta menerangi isi ruang gelas tersebutBegitulah kalau kita sudah tamak dan rakus kepada dunia serta gemar maksiat, maka ilmu tidak akan pernah menerangi hati.



Padahal kalau hati kita bersih, ia umpama gelas yang bersih lalu diisi pula dengan air yang bening. Walau dengan setitik cahaya sekali pun akan mampu menerangi seisi gelas tersebut. Walhal, bila kita menginginkan ilmu yang boleh menjadi ladang amal saleh, maka usahakanlah ketika menimbanya, hati kita selalu dalam keadaan bersih. Hati yang bersih adalah hati yang bebas dari ketamakan terhadap urusan dunia dan tidak pernah digunakan untuk menzalimi sesama manusia mahu pun makhluk-makhluk Allah yang lain. Semakin hati bersih, semakin dipekakan Allah untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat tak kira darimana sekali pun ilmu itu datang. Disamping itu, kita pun akan diberi kesanggupan untuk menolak segala sesuatu yang akan membawa kepada mudarat.



Sebaik-baik ilmu itu adalah yang dapat membuat hati kita bercahaya. Oleh yang demikian, kita wajib menuntut ilmu sekuat-kuatnya yang dapat membuat hati kita menjadi bersih, sehingga pengetahuan yang lain (yang telah ada dalam diri kita) turut menjadi bermanfaat (ilmu).
Bila kita timba air diperigi tampak keruh, lalu kita akan mencari tawas (kaporit) untuk menjernihkannya. Demikianlah halnya dalam mencari ilmu. Kita hendaklah menuntut ilmu itu lalu menjadi tawas dan apabila hati sudah bening, ilmu-ilmu lain yang kita kaji dapat diserap seraya membawa manfaat.



Mengapa demikian? Sebab dalam mengkaji ilmu apapun kalau kita sebagai penampungnya dalam keadaan kotor dan keruh, maka tidak dapat tidak, ilmu yang dituntut itu hanya akan menjadi alat pemuas nafsu semata-mata. Sibuk mengkaji ilmu fiqh, tetapi hanya akan membuat kita menang sendiri dan gemar menyalahkan pendapat orang lain, sekaligus menginaya dan suka menyakiti hati sesama manusia.



Demikian juga dalam kita mendalami ilmu ma'rifat. Sekiranya dalam keadan hati itu busuk maka jangan hairanlah kalau hanya membuat diri kita riyak dan takabbur sahaja, malah merasa diri ini paling salih dan menganggap orang lain itu kotor dan sesat.



Oleh kerana itu adalah menjadi tuntutan fardhu ain ke atas kita untuk mengkaji ilmu kesucian hati dalam erti kata ma'rifat yakni mengenal Allah. Datangilah ke majlis-majlis pengajian (zikir) dan dapatkan pimpinan dari guru-guru mursyid yang membimbing kita kepada riyadhah iaitu berlatih mengenal dan mendekati diri kepada Allah Azza wa Jalla. Kita dibimbing agar memperbanyakkan berzikir iaitu mengingati Allah dan mengenal kebesaran-Nya, sehingga sedar betapa teramat kecilnya kita ini di hadapan-Nya.



Kita dilahirkan ke dunia dengan tidak membawa apa-apa dan demikianlah halnya apabila kita dikembalikan juga dengan tidak membawa apa-apa. Jadi kenapa mesti adanya perasaan ujub, riyak, takabbur, dan sum'ah di dalam diri kita? Merasakan diri ini besar, lalu memandang yang lain kecil. Merasa diri lebih pintar sedangkan yang lain bodoh. Apa! Adakah kita merasakan kehebatan dari ilmu yang kita miliki ini? Apakah kita sudah lupa bahawasanya ilmu yang kita miliki itu adalah titipan Allah jua. Dan tidak menjadi sulit bagi-Nya untuk mengambilnya kembali dari kita?



Subhanallaah! Mudah-mudahan kita dimudahkan oleh-Nya untuk mendapatkan ilmu yang dapat menjadi penerang dalam kegelapan dan menjadi jalan untuk dapat lebih taqarrub kepada-Nya.